Saturday, May 1, 2010

PERASAAN SEORANG MUSLIMAH ITU..

PERASAAN SEORANG MUSLIMAH ITU..

Hindarilah dari berperasaan cemburu, hasad atau iri hati yang ada dalam diri malah tanamlah sifat bersyukur dengan apa yang Allah beri. Kenapa mesti ada sekelumit perasaan cemburu melihat orang lain bahagia? Bagaimana bahagia yang anda maksudkan. Bahagia yang diredhai Allah atau bahagia yang dimurkai Allah? Pilih antara dua itu. Jika anda ingin bahagia yang diredhai Allah, bersyukur dengan kurniaan dan nikmat yang Allah limpahkan.

“Ya Allah, cemburunya, sahabat semua sudah berumah tangga, sudah berjumpa dengan pasangan mereka. Pasangan yang telah ditulis Allah di luh mahfuz dulu. Tetapi kenapa aku belum berjumpa dengan pasanganku”

Keinginan untuk bercinta meluap-luap dalam diri. Kenapa ya Allah? Aku ini tidak lakukah? Aku ini tidak cantikkah? Aku ini tidak ada yang berkenankah? Aku ini sangat memilihkah? Serabut-serabut dengan semua persoalan ini.

Termenung panjang. Adakala tangisan menemani diri saban hari. Berusaha untuk tidak menyerabutkan lagi fikiran, diri ini berusaha berwuduk dan solat sunat dua rakaat dan dipanjangkan dengan membaca al-quran.

" Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. "
(Surah Ali 'Imran: ayat 139.)

Jika kamu orang-orang yang beriman!

Hati tersentak membaca terjemahan ayat ini. Ya, aku tidak boleh lemah dan bersedih hati. Aku mesti kuatkan diri, tekadkan hati dalam melawan nafsu sendiri. Aku tidak boleh macam ni. Bersangka baiklah dengan Allah. Mungkin sekarang aku belum diuji dengan cinta lelaki kerana Allah mahukan aku mempersiapkan diri dengan perkara-perkara lain yang lebih muhim dan aula.

Ya, aku mesti!!

Azam muslimah itu?

Aku sebagai seorang pelajar, harus menumpukan perhatian kepada pelajaran, beradab dengan guru, berkomunikasi dengan tertib bersama mereka, berlapang dada jika mendapat teguran atau kritikan, aku mesti menghabiskan pengajian dengan segera dan mengambil segala peluang dan kutiplah segala manfaat dan ibrah yang ada dalam tempoh ini. Insya Allah. Tekadkan hati!

Aku sebagai seorang anak, hendaklah berusaha menjadi penyejuk mata yang terbaik buat keluargaku. Menjadi anak yang solehah yang diidamkan oleh semua ibu bapa. Aku mesti elakkan diri dari membuat mereka runsing dan risaukanku tapi sebaliknya membuat mereka menarik nafas lega melihat aku dapat berdikari dan mampu menguruskan diri dengan baik.

Aku sebagai seorang kakak mesti sedaya upaya menjadi role model kepada adik-adikku yang lain, sebagai pemberi semangat dan galakkan kepada mereka agar bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Aku juga mesti bersabar dalam melayan karenah adikku yang pelbagai ragam. Walaupun dah besar dan mampu berfikiran matang tetapi perhatian terhadap sifat ingin tahu mereka perlu dilayani dan penuhi.

Aku sebagai seorang adik kepada abangku dan kakak-kakakku, hendaklah menjadi adik yang baik dan menurut kata. Abang dan kakak yang banyak berkongsi ilmu. Abang dan kakak yang mempercayaiku. Abang dan kakak yang selalu memberi kata-kata semangat tika aku gagal, abang dan kakak yang sentiasa menegur dan menasihati ketika aku alpa dan terlalai. Abang dan kakak yang sentiasa berusaha menjawab segala permasalahanku tidak kira waktu dan ketikanya berkaitan hukum hakam agama. Abang dan kakak yang tidak pernah mengecewakanku apatah lagi emak dan abah.

Aku sebagai seorang perempuan, seorang anak gadis, sudah layak digelar wanita barangkali dan lebih manis disebut muslimah, haruslah berusaha mensolehahkan diri sendiri dahulu, sedaya upaya mempelajari perkara-perkara yang berkaitan dengan wanita, memahami kehendak wanita, meneladani wanita muhajirin dan ansor, begitu juga para isteri sahabiah, para ummuhatul mukminin, para ahli sufi di kalangan wanita dan tokoh-tokoh wanita islam yang beriman. Aku pasti kan berusaha sedaya upaya menjadi nisa’ yang dikehendaki Allah dan Rasul. Muslimah yang diiktiraf Allah di dunia dan di akhirat. Bakal bidadari di syurga nanti. Insya Allah..

Aku sebagai hamba Allah yang mana telah berikrar dan berjanji didalam solatku bahawa “sesungguhnya hidupku, ibadahku dan matiku hanya untuk Allah”. Aku hendaklah berusaha untuk menjadikan diri sebagai muslimah yang beriman lagi solehah. Bukan secara zahir semata-mata tetapi jiwaku, rohaniku, hatiku mesti kuat dan dipenuhi dengan taqwa kepada Allah.

Doa

Mampukah aku untuk melaksanakan azam ini?

Thabatkah aku untuk menelusuri jalan ini?

Doa hamba yang hina ini,
“Ya Allah, istiqamahkanlah diri hambaMu dalam menjalankan perintahMu, hambaMu yang selalu lupa dan alpa dengan dunia, yang banyak mengejar dunia dari kehidupan abadi di akhirat sana, hambaMu yang menyangka bahawa manisnya melakukan dosa dan pahitnya mengerjakan pahala, hambaMu yang terlalu jauh dari Redha sang Pencipta, hambaMu yang sentiasa resah dengan dosa, hambaMu yang lemah dan hina, ampunkan hambaMu ini Ya Allah, hambaMu yang hina ini memohon dengan rasa rendah diri dan penuh kesayuan dijiwa agar campaklah taufik dan hidayahMu yang termahal itu kepada hamba, agar hamba berusaha untuk mengejar RedhaMu dan memperolehi Cinta agungMu”
amin ya Rabbala’lamin..

*Luahan ini tidak ada kaitan dengan mereka yang hidup atau pun yang sudah meninggal dunia, sekiranya ada mungkin ianya secara kebetulan sahaja. Wallahualam.
~ Qurratun Ain ~